Tuesday, April 20, 2010

SEJARAH CHAMPA

KERAJAAN CAMPA - Hubungannya Dengan Vietnam

     Campa merupakan sebuah kerajaan yang bertamadun tinggi pada satu ketika dahulu. Kedudukan kerajaan yang baru sahaja lenyap itu terletak di bahagian tengah Vietnam sekarang. Kewujudannya telah terbukti dari dokumen-dokumen Cina sejak tahun 192 Masehi. Hasil kajian epigrafi, catatan-catatan Cina, orang Eropah mahupun Vietnam dan Arab telah mengatakan bahawa kerajaan Campa terletak di tanah-tanah rata sepanjang persirian pantai laut China Selatan (sebelumnya dipanggil: Laut Campa) dan dataran-dataran tinggi di barat tanah rata2. Kini kerajaan Campa telah dipadam dari peta dunia sejak tahun 1832 oleh seorang maharaja Vietnam yang bergelar Minh Menh.
     Penduduk kerajaan Campa terdiri daripada orang Cam, yang mendiami kawasan persisiran pantai, dan yang lain mendiami dataran tinggi3. Mereka yang tinggal di dataran ini dibahagikan kepada dua kelompok. Pertama, kumpulan rumpun bahasa Austronesia, yang disebut Camik. Ia terdiri dari orang Cam sendiri serta Jerai, Rade, Cru dan Raglai. Kedua, ialah kelompok yang terdiri daripada orang Ma, Mnong, Sre, Stieng dan orang Bahnar. Mereka dari rumpun Austroasiatik, kumpulan Bahnarik.
     Sejarah kerajaan Campa didominasikan oleh siri peperangan dengan jirannya dari utara iaitu Vietnam yang lahir pada tahun 939. Peperangan pertama antara kerajaan Campa yang berpengaruh India dan Vietnam yang berpengaruh Cina berlaku pada tahun 982. Berhadapan dengan kemunculan kuasa baru Dai Viet (Vietnam) ini, sedikit demi sedikit sempadannya ditolak ke selatan. Dalam proses perluasan wilayah Dai Viet tersebut yang dikenali Nam-tien iaitu kemaraan orang Viet ke Selatan, sempadan utara Campa terpaksa berpindah buat kali pertama pada tahun 1069.
     Setelah itu sempadannya terpaksa berpindah lagi ke Selatan pada tahun 1306, dan pada tahun 1471 sempadannya telah berpindah ke kedudukan baru iaitu apabila Vijaya dimusnahkan sama sekali. Tarikh ini juga dipercayai sebilangan pengkaji sebagi tarikh tamatnya identiti kerajaan Campa. Kehancuran Vijaya ini dilakukan oleh satu pasukan tentera Viet sekuat 250 000 orang. Sejumlah besar dari 90 000 orang Cam telah terkurban dan yang selebihnya dibawa ke negara Viet.

    Dari tarikh tersebut, sejarah kerajaan Campa menjadi sejarah pergelutan orang Cam yang panjang “untuk menentang kemaraan Vietnam, untuk menyelenggarakan kemerdekaannya serta memelihara identitinya”.
Your browser may not support display of this image.
Sumber: Po Dharma 1996
     Walau bagaimanapun mereka tidak mampu bertahan diri di hadapan kekuatan Vietnam dan kerajaan Campa akhirnya musnah pada 18324.
Sejak kejatuhan Vijaya, orang Cam mula meninggalkan tanah air mereka secara beramai-ramai kerana tekanan Vietnam yang semakin lama semakin kuat dan terik. Ramai di kalangan mereka memilih Kemboja, sementara sebahagian yang lain memilih daerah-daerah lain di Asia Tenggara dan juga ke Hainan dan Shanghai. Semenjak kejatuhan Indochina kepada rejim komunis, orang Cam yang hidup di Kampuchea mahupun di Vietnam melarikan diri untuk mencari perlindungan di negara-negara lain seperti Malaysia, Perancis, Amerika Syarikat mahupun Australia.

Peradaban
     Berkenaan dengan peradaban pula, kerajaan Campa telah terpengaruh dengan peradaban India dan telah menjadi sebuah negeri yang dipengaruhi Hindu-Buddha.
     Terdapat banyak peninggalan arkeologi di seluruh kerajaannya, khususnya di:
- Tra-kieu (wilayah Quang-nam sekarang)
- My-son (wilayah Quang-nam sekarang)
- Dong-Duong (wilayah Quang-nam sekarang)
- Kawasan Vijaya (wilayah Binh-dinh sekarang)
- Kauthara (wilayah Nha-trang sekarang)
- Panduranga  (wilayah Binh-thuan sekarang)

     Dari pengaruh yang diterima ini arca-arca serta candi-candi dibina. Inskripsi pertama bertarikh abad ke-4 Masihi yang ditemui di Tra-kieu adalah dalam bahasa Cam (rumpun Melayu). Kemudian ditemui juga inskripsi dalam bahasa Sanskrit dan juga dwibahasa.
     Kemudian kerajaan Campa telah menerima tamadun Islam. Tiada kepastian bila Campa telah menjadi Kerajaan Islam. Yang pasti Islam orang Islam telah tiba di bumi Campa pada abad ke-9. Dan hanya pada abad ke-14 dan seterusnya hubungan dengan orang Melayu dri Nusantara telah memperlihatkan orang Cam telah menjadi Islam. Setelah orang Cam dan orang Melayu dari Nusantara ini bertemu, pelbagai bentuk hubungan telah wujud, antaranya hubungan keagamaan dan perdaganan. Hubungan ini berterusan sehingga ke hari ini. Kini hampir keseluruhan penduduk Campa yang hidup di Vietnam atau di luar Vietnam adalah orang Islam.

Zaman Awal Kerajaan Campa
     Menurut sejarah Cina, Lin Yi, nama awal Campa, muncul pada tahun 192 Masehi di bahagian tengah negeri Vietnam sekarang5. Penduduk Lin Yi bertutur dalam bahasa dari rumpun Austronesia. Sempadan utara Lin Yi terletak di Gate of Annam (Hoanh Son). Maklumat awal mengenai sejarah Campa adalah sedikit sahaja; tidak diketahui sama ada penduduk Lin Yi memegang ajaran Hindu atau Buddha.
     Sejak awal abad ketiga, Lin Yi merupakan negeri yang tunduk kepada China dan membayar ufti kepadanya. Mereka telah mencuba untuk memperluaskan wilayahnya ke utara Gate of Annam tetapi tidak berjaya. Pada abad keempat, didapati bahawa penduduk Lin Yi bertutur dalam bahasa Cam6, satu bahasa dari rumpun Austronesia. Pada ketika itu orang Cam membina rumah mereka dari batu bata; mereka membakar mayat7. Pada penghujung abad keempat dan awal abad kelima, Shivaisme merupakan agama dominan yang diamalkan di istana8.
Sejak abad ketujuh barulah bukti sejarahnya lebih jelas. Dalam satu sumber ada menyebut bahawa satu ekspedisi ketenteraan Cina telah menyerang Campa pada tahun 605. Ibu negeri Campa terletak di daerah Tra Kieu9. Daerah Tra Kieu merupakan pusat penyebaran agama Hindu sejak abad keempat lagi. Batu bersurat dalam kedua-dua bahasa iaitu Sanskit dan Cam, telah ditemui di daerah tersebut. Nama “Campa” disebut buat kali pertama dalam dua buah inskripsi bahasa Sanskrit, satunya bertarikh tahun 658 yang ditemui di bahagian tengah Vietnam dan satu lagi ditemui pada tahun 668 di Kampuchea. Ini tidak bererti nama “Campa” tidak pernah diguna atau wujud sebelum itu. Satu lagi nama Campa iaitu Chan Cheng, yang sebenarnya satu transliterasi Cina, muncul dalam tahun 877.
     Dari abad kelapan, wilayah kerajaan Campa ada pada keluasan yang terbesar. Ia terletak dari Gate of Annam di utara hingga ke lembah Sungai Donnai di selatan. Kerajaan Campa terbentuk dari lima buah daerah, yang mirip dengan negeri-negeri pada masa sekarang. Lima buah negeri, dari utara ke selatan ialah Indrapura, Amarawati, Vijaya, Kauthara and Panduranga. Setiap negeri diperintah oleh pentadbirannya sendiri dan ada sebuah pemerintahan di peringkat pusat iaitu di istana diraja Campa. Dengan itu Campa merupakan sebuah federasi dan bukannya sebuah kerajaan unitarian.
Mengenai hubungan diplomatik, kerajaan Campa menjalin hubungan baik dengan jiran-jirannya10, iaitu China di utara, Kampuchea di barat dan Nusantara di selatan. Campa secara teratur menghantar utusan-utusan dan uftinya serta mengadakan hubungan ekonomi dan keagamaan dengan China. Dipercayai bahawa ajaran Buddha Mahayana sampai ke Campa melalui sami yang datang dari China.
     Agama ini berkembang dengan pesat pada abad kelapan dan kesembilan dengan terbina sebuah kompleks biara yang termasyhur di Dong Duong. Hubungan dengan Kampuchea juga diadakan secara berterusan. Pada peringkat awal hubungannya akrab tetapi menjelang abad kesembilan ia menjadi renggang. Mengenai hubungannya dengan jiran di bahagian selatan, ia bermula dengan rompakan secara besar-besaran oleh orang Jawa pada penghujung abad kelapan. Hubungan dengan Nusantara menjadi lebih baik selepas kejadian itu sehingga membawa kepada peningkatan pertukaran perdagangan dan persahabatan.
Ketika itu, dalam abad kesembilan, ibu negeri Campa terletak di Indrapura yang kini di Quang Nam. Zaman inilah tamadun Campa termasuk sistem sosialnya, konsep kerajaan serta praktis keagamaannya menunjukkan ia dipengaruhi oleh peradaban India, iaitu Hinduisme dan Buddhisme. Keadaan politik, ekonomi dan sosial telah menunjukkan Campa adalah sebuah kerajaan dipengaruhi India. Dalam pada itu, raja Campa membina kemudahan-kemudahan Buddha di Dong Duong dan juga kuil Hindu di My Son.



Ada sambungan.......


*** Sumber daripada Mohamad Zain Bin Musa (ATMA – UKM)


0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template