Monday, April 26, 2010

SEJARAH YANG HILANG

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah. Syukur pada Allah S.W.T yang memiliki sekelian alam...


Setiap bangsa ada kebanggaannya..
Ada sejarahnya...
Setiap bangsa pasti akan mencintai bangsanya....
Begitu juga agama, pasti ISLAM yang utama.....



Abad ke Sepuluh – Titik Tolak
Penaklukan China ke atas Vietnam yang bermula pada tahun 111 SM telah tamat pada 939 apabila Vietnam berjaya membebaskan diri dan mengisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka. Semenjak abad kesepuluh, Campa telah menghadapi beberapa masalah dengan jiran baru. Serangan pertama Vietnam ke atas Campa berlaku pada tahun 982 yang “menyebabkan kehilangan nyawa raja Campa dan menyebabkan kemusnahan ibu negara”11.

Kelahiran Vietnam menandakan satu perubahan yang amat besar bagi kerajaan Campa serta arena politik di keseluruhan Indochina. Setelah beberapa siri serangan oleh kedua-dua pihak, raja Campa membuat keputusan pada tahun 1000 untuk meninggalkan Indrapura kerana ianya terlalu dekat dengan wilayah Vietnam. Baginda memindahkan ibu negaranya jauh ke selatan, iaitu ke Vijaya yang kini tertelak di Binh Dinh.

Sejak abad kesebelas, Dai Viet iaitu nama lama Vietnam, memberi tekanan yang dahsyat ke atas Campa. Banyak serangan Vietnam dilakukan pada abad ini, khususnya serangan pada tahun 1044 yang merampas dan menjarah Vijaya lalu membunuh rajanya. Alasan serangan ini adalah kerana Vietnam ingin mendera Campa yang berani menyerbu ‘pantai Vietnam’. Keresahan Campa bukan hanya disebabkan faktor luar tetapi juga oleh faktor dalaman. Kekalahan Campa terhadap Vietnam mencetuskan kebangkitan di Panduranga, iaitu sebuah negeri yang terletak paling selatan dalam kerajaan Campa. Kerajaan pusat telah menghantar satu pasukan tentera untuk membanteras kebangkitan tersebut12.

Untuk membalas dendam terhadap serangan Vietnam pada tahun 1044, Raja Rudravarman III menyerang Vietnam pada 1068. Sekali lagi Campa diserang balas secara serta merta oleh Vietnam. Raja Vietnam, Ly Thanh Tong mengetuai pasukan tentera lautnya, menyerang Vijaya, mengalahkan tentera Campa dan menangkap Raja Rudravarman III. Raja Vietnam membawa raja Campa ke lembah Sungai Merah. Bagi membebaskan dirinya, raja Campa telah melepaskan kawasan dari Gate of Annam hingga ke daerah di sekitar genting Lao Bao kepada Vietnam pada tahun berikutnya. Dengan itu istana Vietnam menukarkan daerah-daerah ini untuk menjadi propinsi-propinsi Vietnam dan diberi nama Dia Ly, Ma Linh dan Bo Chinh.

Dalam tahun 1103 dan 1104, orang Cam menyerang balas tetapi gagal mendapatkan kembali wilayah-wilayah yang telah dirampas. Berikutan itu sempadan utara Campa dipindahkan ke selatan iaitu di genting Lao Bao13. Semenjak itu Campa terpaksa bukan hanya menghantar ufti ke negeri China malah ke Vietnam. Oleh kerana kelemahan kerajaan pusat, Panduranga sekali lagi mencuba untuk mendapatkan otonominya.

Abad kedua belas juga memperlihatkan Campa membantu kerajaan Angkor untuk menentang kemaraan Vietnam. Kemudian apabila Campa berbaik dengan Vietnam, raja Khmer menghantar satu pasukan tenteranya untuk menakluki Vijaya pada tahun 1145 dan menduduki keseluruhan bahagian utara wilayah Campa. Vijaya dibebaskan pada tahun 1149 oleh raja Panduranga yang menabalkan dirinya sebagai raja Campa di istana Vijaya.

Setelah kemangkatan raja ini, penggantinya menyerang Angkor secara mengejut pada tahun 1177 dengan menggunakan satu pasukan tentera laut yang kuat yang berlayar melalui Sungai Mekong dan Sungai Tonle Sap hingga ke Tasik Tonle Sap. Tindak balas raja Jayavarman VII dalam satu siri peperangan, termasuk serangan pasukan tentera laut berjaya menghalau pendudukan tentera Cam dari bumi Kampuchea. Siri peperangan ini diperingatkan melalui bas-relief di Bayon dan Banteay Chmar14

Jayavarman meneruskan serangannya hingga penaklukan ibu negara Campa pada tahun 1191. Baginda melantik adik iparnya, Yuvaraja Dhanapati Grama untuk memerintah di Vijaya. Seorang putera Cam, Angsoraja Urang Turai-Vijaya yang telah dibesarkan di Angkor diberikan takhta di Panduranga. Akan tetapi raja Panduranga ini merampas kuasa raja Vijaya dalam tahun 1192 dan mengisytiharkan dirinya sebagai raja di Vijaya dan Panduranga.

Berikutan itu, Jayavarman VII mengambil tindakan secara definitif dengan meletakkan Campa di bawah naungannya pada tahun 1203. Dengan demikian Campa telah menjadi sebuah propinsi kerajaan Kampuchea hingga ke tahun 1220. Tarikh ini merupakan tarikh tamatnya permusuhan selama satu abad di antara dua saudara berjiran dan sesama mengamalkan kebudayaan Hindu-Buddha. Sejak itu kedua-dua negara ini menjalinkan hubungan kejiranan yang amat baik.

Setelah tujuh belas tahun di bawah naungan Kampuchea pada awal abad ke tiga belas, Campa sekali lagi terletak di bawah orang Mongol pada tahun 1283 selama dua tahun. Di samping itu, Vietnam selalu menceroboh wilayah Campa. Pada awal abad keempat belas, Campa menderita kerana hilang lagi daerahnya di utara.

Raja Jaya Simhavarman III (? – 1307), dikenali sebagai Che Man bagi orang Vietnam, dan Pou-ti oleh orang Cina, menawarkan pada tahun 1306 kepada raja Vietnam dua buah daerah O dan Ly, iaitu wilayah di antara genting Lao Bao dan Col des Nuages (genting Awan) bagi mendapatkan anaknya, puteri Huyen Tran, sebagai isteri baginda. Baginda tidak bernasib baik, baginda mangkat setahun kemudian. Dengan serta merta puteri Vietnam ini dibawa balik ke Thang Long kerana bimbang dibakar hidup-hidup bersama mayat suaminya mengikut adat sati India yang diamalkan di Campa ketika itu. Pengganti-pengganti Raja Jaya Simhavarman telah mencuba pada tahun 1311-12, 1317-18, 1326 dan 1353 untuk menuntut kembali daerah-daerah yang telah diberi kepada Vietnam tetapi semuanya gagal.

Dalam suasana itu, “seorang raja Cam yang mempunyai seni politik yang baik serta kelicikan dalam strateginya” wujud dalam senario. Baginda adalah Che Bong Nga (1360-1390). Baginda merupakan seorang raja yang berpengetahuan luas dalam peperangan. Baginda memperkuatkan pasukan tentera darat dan laut baginda dengan menambahkan bilangan askar serta memperbaiki kelengkapan tentera. Baginda dipercayai naik takhta pada tahun 1360.

Baginda mengepalai satu siri serangan ke atas daerah-daerah yang sekarang telah menjadi wilayah Vietnam. Serangan pertama adalah pada awal tahun 1361 apabila pasukan tentera baginda memusnahkan pelabuhan Dia Ly. Dalam balasan serangan baginda, Che Bong Nga telah dua kali menyerang Thanh Long, ibu negara Vietnam di lembah Sungai Merah; kali pertama pada tahun 1370 dan kali kedua pada tahun 1377. Baginda berjaya menewaskan dua pencerobohan tentera Vietnam pada tahun 1368 dan 1377 apabila pasukan tentera ini menyerang Vijaya. Walhasil baginda dibunuh oleh askar Vietnam15 dalam satu peperangan dalam tahun 1390 apabila rahsia kapal yang dinaikinya telah dibocorkan ke pihak Vietnam oleh pengiring yang mengkhianati baginda.

Che Bong Nga juga merupakan seorang raja yang sangat prihatin terhadap hal-hal keadilan sambil memberi keutamaan kepada keamanan dan kestabilan dalam kerajaannya. Hukuman yang keras dikenakan kepada lanun-lanun yang menjalankan aktiviti mereka di persisiran pantai Campa. Baginda juga mengadakan hubungan yang baik dengan China dengan menghantar gajah, harimau serta lain-lain hasil pengeluaran Campa ketika Tchou Yuan-tchang mengisytiharkan dirinya sebagai “Maharaja Ming” pada tahun 1369.

Daerah-daerah di utara Col des Nuages yang dirampas kembali oleh Che Bong Nga hanya dilepaskan kepada Vietnam oleh penggantinya iaitu Raja Jaya Simhavarman Sri Harijatti (La Ngai, dalam bahasa Vietnam) yang memerintah hingga ke tahun 140016.

Maspéro dalam bukunya yang berjudul Le Royaume de Champa (Kerajaan Campa) menggambarkan zaman pemerintahan Che Bong Nga, 1360-1390 sebagai zaman keagungan kerajaan Campa17. Sebenarnya apa yang berlaku semasa pemerintahan Che Bong Nga itu hanya masa kejayaan yang singkat dalam proses menuntut kembali wilayah-wilayah yang telah ditakluki oleh Vietnam dalam abad-abad sebelumnya. Kesilapan Che Bong Nga tidak menyelenggara wilayah yang telah berjaya dirampas kembali itu.

Walau bagaimanapun selenggaraan wilayah ini tidak mungkin boleh berlaku kerana wilayah itu sangat luas jika dibandingkan dengan jumlah rakyat yang ada dalam kerajaannya. Sebaliknya P-B. Lafont18 percaya bahawa kedatangan agama Islam di India dalam abad ke-12 yang menjadi penghubung dengan Indochina menyebabkan kelemahan penguasa kerajaan berpengaruh Hindu itu.

Beliau mengatakan hubungan yang sedia ada di antara peradaban Hinduisme dan Buddhisme dengan Campa yang merupakan kekuatan kerajaan tersebut tidak lagi mampu memberi pernafasan baru kepadanya. Walau bagaimanapun sebenarnya kerajaan Campa sedang mengalami kemerosotan kerana negara ini sentiasa dikalahkan dalam peperangan sejak kelahiran Vietnam yang merupakan titik tolak dalam sejarah keseluruhan Indochina.


***Sambungan daripada post SEJARAH CHAMPA....
***Ada lagi sambungan..... 
 

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template